24 August 2011

Pergilah Air Mata - Hanni Ramsul

Noktah bahagia menjadi anganku, ternyata cuma titik mula pada derita yang tidak bertepi. Sumpah bukan ini yang aku mahu. Sumpah juga, aku tidak pernah mahu membuat kau terseksa. Tidak pernah mahu merobohkan bahagiamu. Atas rasa bersalah, aku rela melihat kau menganyam bahagia bersamanya. Namun, mengapa perlahan-lahan layananmu memberi tanda tanya di hati ini? Mungkinkah kita sudah sama-sama terpaut? Atau… mungkinkah segala yang berlaku tidak lebih hanya mainan perasaan sendiri? Mungkin... kerna aku yakin, membencimu tidak mungkin berubah sayang. Bencimu padaku setinggi awan yang menyapu langit… SABRINA.

Memang aku benci. Memang aku tidak pernah rela dengan takdir ini. Namun, kenapa tulusmu terus mengikat aku pada ikatan yang paling kubenci ini? Mengapa hati ini penasaran setiap kali kau menagih perpisahan yang pernah aku janjikan? Cintakah ini, apabila aku tewas tiap kali memandang wajahmu? Sayangkah ini, apabila hatiku digaru resah tiap kali aku cuba lari darimu? Mustahil cinta kerana cintaku sudah kusimpul kukuh di hati dia. Lalu, apa sebenarnya yang berlaku di antara kita? Bagaimana cara untuk aku hapus wajahmu yang terus menemani mimpiku? Di mana noktahnya mainan perasaan ini… BADRUL

Qantan Biru Langit - Muliati Abdul

Qantan Biru Langit? Dia itu siapa? Anak orang kayakah? Atau anak raja? Oh! Qantan Biru Langit bukan orang ternama. Bukan juga anak orang kaya. Jauh sekali anak raja. Dia cuma seorang gadis biasa. Namun yang menjadi kemusykilan, kenapa tiga orang jejaka boleh diserang penyakit angau setelah bertemu dengannya? Apa istimewanya Qantan Biru Langit di mata mereka?

Razif Khusaini –

Seorang pilot 'cabuk'. Bekas rakan sekelas Qantan Biru Langit dan nyaris menjadi suami Qantan Biru Langit gara-gara wasiat keluarga. Namun di saat akhir Razif memilih gadis lain untuk menjadi isterinya. Setelah isterinya dijemput Ilahi, hadir perasaan aneh di dalam hatinya setelah bertemu dengan Qantan semula. Kata Razif: Saya akan menjadi lelaki paling bahagia andai kata diberi peluang kedua. Insya Allah, saya tak akan sia-siakan seperti dulu.

Rafael Vivarte –

Businessman kacukan Melayu - Perancis. Pertama kali bersua Qantan Biru Langit hatinya sudah menyanyikan lagu cinta. Dia bertuah kerana memiliki Karin sebagai 'kabel jodoh'. Namun dia juga bernasib malang kerana tinggal jauh di Kota Perancis. Kata Rafael: abang tak pernah jatuh cinta selama ni, Karin. Jadi abang tak tahu apa rasanya bila hati dipenuhi rasa cinta. Tapi abang boleh mengaku hati abang sudah dibawa lari oleh seorang perempuan bernama Qantan Biru Langit.

Khalid Zhafran –

Pemain tenis bertaraf dunia. Hati beku, pendiam dan agak sombong. Pernah menjadi musuh kepada Razif Khusaini sewaktu berada di bangku sekolah. Amat terkenal dengan jolokan 'kera sumbang'. Namun Qantan berjaya mengubah persepsinya terhadap erti sebuah persahabatan. Kata Khalid: Qantan Biru Langit satu dalam sejuta. Dia lain daripada perempuan di luar sana. Dia adalah teman terbaikku. Jadi salahkah apabila aku ingin mengubah frasa teman terbaik kepada kekasih terbaik?

2 x 5 - Areila Sahimi

Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee pernah berpujangga… sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Itulah asam garam hidup berumah tangga, pahit manis pastinya akan terasa.

Pada Syakirin, Zaim bukan lelaki jahat. Zaim itu lelaki baik. Cuma perlu ada teknik yang mantap sahaja untuk menjinakkannya.

Pada Zaim, Syakirin itu okey juga. Cuma hatinya sahaja belum terbuka untuk menerima kehadiran wanita lain selepas peristiwa pengantin perempuannya hilang pada hari pernikahannya dua tahun dahulu.

Setebal mana tembok ego lelaki, pasti akan runtuh juga akhirnya apabila melihat haknya yang halal itu sudah indah berdiri di depan mata. Masakan dia mahu menolak. Dari rasa dingin, mereka berdua mula membina mahligai bahagia bersama.

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Datangnya Sofea dengan tiba-tiba mengganggu keharmonian rumah tangga yang dibina. Bila datang insan ketiga memang payah untuk meletakkan rasa percaya pada pasangan kerana wanita biasa pasti sahaja punya rasa marah bilamana haknya cuba dirampas oleh wanita lain.

Dalam kalut kehadiran Sofea, muncul pula Johan Razi si hartawan yang hartanya tak habis makan menimbulkan cemburu di hati Zaim. Masakan dia tidak berperasaan begitu andai isterinya bukan main bermanis bahasa dengan duda beranak satu itu.

Antara Syakirin dan Zaim, mereka saling menuduh siapa yang curang. Mereka mula mencemburui sesama sendiri. Bila masing-masing 2x5 memang susah nak tentukan siapa salah siapa betul. Syakirin atau Zaim? Memang cemburu tandanya sayang. Tapi terlebih cemburu juga boleh membawa padah…

Dia Lebih Mengerti - Norhayati Berahim

Sesekali bukan tidak diikut akal warasnya, sesekali bukan tidak difikirkan rasa cinta yang masih ada. Namun kenangan silam, cukup membuat seorang Umairah terpaksa mengalah. Diperendah dan dihina, dinista dan hanya mampu mendapat sisa. Umairah akur kehendak takdir. Cinta itu bukan untuknya.

Tetapi lelaki yang bernama Syed Abid tidak mengerti. Terlalu besarkah kesalahannya sehingga Umairah marah? Terlalu banyakkah dosanya sehingga Umairah mengalah. Bagi lelaki ini, cinta yang ditemuinya kali ini, cinta sejati. Bagaimana Umairah marah, bagaimana Umairah mengalah. Tidak semudah itu dia akan menyerah kalah. Cintanya hanya untuk Umairah. Tiada siapa yang boleh menegah. Kerana bagi Syed Abid, cinta yang ada dihatinya, hanya dia sahaja yang mengerti.

Bidadari Hujan - Noor Azzahra

Tanpa diduga tatkala hujan sedang turun pada suatu pagi, aku terpanah dek kasmaran untuk pertama kali.
Dia Bidadari Hujan yang memayungi aku dengan payung cintanya! Aku terpesona pada kejelitaannya.
"Harap-harap esok pagi hujan lagi!" kataku sambil menghadiahinya senyum.
Matanya memanah hatiku dengan busur arjuna.
Lalu hari-hari selepas itu, aku bukannya lagi Raimy Haidar yang dulu.

Hujan mencurah lagi. Diberinya aku sekaki payung.
"Macam mana saya nak pulangkan?"
Langkah dia terhenti. Aku menanti. Perlahan-lahan dia berpusing kembali menghadap aku.
Oh, dia bukannya Bidadari Hujan aku yang dahulu. Tingkahnya penuh pekerti senyumnya penuh erti.
"Simpanlah andai awak rasa mahu menyimpannya. Buanglah andai awak rasa mahu membuangnya."

Apa jawab hati aku pada saat ini?


Ranting Cinta Si Plato - Norhayati Berahim

Sukar menerima hakikat si suami pergi tak kembali. Hati Sofea galau dan ganar. Separuh nyawanya terasa melayang. Bagi dia, Alfian, si suami terlalu muda untuk mati. Namun cerita yang terbongkar selepas kematian Alfian, membuat hatinya luka parah.

Dalam melayan duka lara, Muaz muncul seperti kilatan cahaya. Lelaki yang bertahun dahulu pernah menaruh hati padanya. Lelaki yang sering berdoa, akan berjumpa semula ranting cinta yang telah tertinggal di belakang.

Tidak mudah hati Sofea akan berubah, tidak mudah cinta akan beralih arah. Tetapi Sofea sedar cerita kelam yang ditinggalkan oleh Alfian harus dipadam… Dia harus bangkit, berdiri semula dan melupuskan segala ingatan pada yang menyakitkan.

Lili Buat Najah - Nazurah Aishah

Aku dan Najah kenal di depan Stadium Old Trafford, berkahwin sembunyi-sembunyi di Tanah Ratu. Sekembali ke tanah air, aku dan Najah harus pula menjadi pelakon di depan mama yang sudah ada pilihan sendiri.

Itulah permulaan kisah ini… yang bagaikan sudah terang lagi bersuluh. Apakah boleh aku memilih jalan ceritaku sendiri, Najah? Jika tidak, bagaimana pula dengan perasaan? Berkorban perasaanlah yang paling menyedihkan, kerana perasaan itu tidak pernah ada bau dan warna; lalu sukarnya untuk orang lain memahami, apatah lagi merasai…

Tulis Najah:

Apalah maknanya bulan kalau langit diselubungi mendung;
Apalah ertinya mentari kalau sinarnya dihalang gerhana;
Jadi bagaimana aku harus terus hidup kalau mentari tak mahu berkongsi kehangatannya dan bulan tidak mahu meminjamkan sinarnya…?

Najah, sudah jadi fitrah alam… matahari itu tetap terbit dari arah timur, dan bulan pula tetap setia menemani malam!

Bunga Syurga - Anita Aruszi

Riffki - Dia melihat cinta pertamanya dalam wajah suci sang gadis yang dahagakan secangkir kasih. Namun dingin hati lelakinya terus menolak kehadiran rasa dalam diri. Pertemuan demi pertemuan membibit rasa rindu. Tetapi sayang yang tidak terucap seumpama racun menjalar. Bila hati semakin tidak tertahan, kesakitan terasa perit mencengkam. Cinta sepatutnya memberi, mengasihi dan menerima. Tetapi cintanya hanyalah menyakitkan, mengasari dan menyeksa diri. Semakin banyak dia memberi, semakin jauh cintanya lari.

Hijjaz - Hablur-hablur rindu sudah lama ternoktah dalam hidupnya. Kesepian membuatkan dia sering bermimpi di siang hari. Namun tidak pernah terlintas di mindanyya akan terbit satu saat di mana dia mula merindui insan yang terlalu berbeza. Namun menyayangi lelaki itu bagaikan menyayangi bayang-bayang sendiri. Semakin jauh dikejar semakin dirinya ditinggalkan. Suatu masa dia sudah lelah mengejar bila hakikat maha nyata terhampar di hadapan mata. Mungkin ini takdir azali, satu langkah abadi membongkar sebuah tragedi.

Dengan Sepenuh Hati - Qaseh Qaisara

Ashiqah sukakan Fahmy, seorang pelajar tingkatan enam. Lantas sepucuk surat berwarna merah jambu berpindah tangan. Namun surat itu jugalah buat Ashiqah tidak serupa orang buat beberapa ketika. Kerana tidak serupa orang itu, akhirnya Ashiqah terlibat dengan satu insiden. Dia terlanggar Harris, pelajar tingkalan lima yang juga merupakan adik tiri Fahmy.

Episod perlanggaran itu buat Harris mula terkenang-kenang akan Ashiqah. Membawa pula pertemuan kepada surat berwarna merah jambu di bilik Fahmy. Harris menggunakan surat merah jambu sebagai alasan untuk mengusik Ashiqah dan akhirnya mereka pula menjadi sahabat yang paling akrab.

Persahabatan yang bermula dari zaman persekolahan membuahkan rasa cinta namun cinta itu hanya kekal menjadi sebutan dalam hati kerana setia kepada persahabatan, sehinggalah Fahmy muncul semula. Ashiqah yang tidak pernah dipandang awalnya, mula mencuri perhatian Fahmy sekaligus menggugat kasih Harris terhadap Ashiqah.

Sebenar-benarnya, siapakah yang paling layak, menerima cinta Ashiqah? Siapa pula mahu Ashiqah dengan sepenuh hati?

Aku Bukan Billy Milligan - Norhayati Berahim

Penghinaan dan cercaan ketika kecil, membuatkan Adam percaya, harta menggunung dapat membeli maruah diri. Bila usia menginjak dewasa, tekadnya hanya satu, menjadi kaya dan dihormati seperti Warren Buffet!

Namun Adam silap percaturan. Setelah kejayaan dalam genggaman, dia masih lagi diperlekeh dan rumah tangganya runtuh walaupun dia sudah menjadi kaya raya!

Kehadiran Laura membuka mata Adam. Laura dari mata kasar Adam, hanya biasa-biasa sahaja. Tetapi gadis itu berjiwa tegar, selamba dan tenang. Anak pembuat belacan yang sentiasa menikmati hidup seadanya. Dari Laura, Adam pelajari banyak perkara. Terutamanya bagaimana mahu menghargai kehidupan dan berkasih sayang!

Cinta Kau Dan Aku - Siti Rosmizah

"Apa jadi driver? Hei Risya, dah tak ada jawatan lain ke kat tempat kerja Milah tu sampaikan jawatan driver pun kau terima? Dah-dah, balik kampung aje. Tolong mak kat warung lagi bagus. Apa, kau ingat, kau tu jantan ke. Nak jadi driver." Marah Mak Timah."

"Kalau saya katakan saya tak kisah untuk memperisterikan awak? Dan saya juga sebenarnya sudah mula menyukai awak, adakah awak akan berubah fikiran dan menerima saya?" soal Farish Hakimi dengan wajah serius.

"Sayang, dari hati yang tulus abang nak beritahu sayang yang abang sungguh bahagia dapat menjadi suami sayang. Abang harap, Risya boleh terima abang dalam hidup Risya. Percayalah, abang ikhlas mengambil Risya sebagai isteri abang."

Sebaik sahaja kaki Farish Hakimi hendak melangkah masuk ke balai berlepas, dia dikejutkan dengan suara yang amat dikenalinya. Suara yang sememangnya amat disayangi, suara yang menyebabkan dia ketawa, suara yang menjadikan hidupnya ceria, suara yang sentiasa berbisik manja ditelinganya. Tidak, dia tidak perlu untuk mendengar suara itu lagi. Bukankah suara itu yang telah merobek hatinya? Bukankah suara itu yang telah meragut kepercayaannya?


Bila Dah Suka - Mimie Afinie

Kata orang, cinta pertama paling sukar untuk dilupakan. Kata orang lagi, bila kecewa dalam bercinta, kita memerlukan masa yang lama untuk sembuh. Benarkah begitu? Kalau benar, masakan dia senang sangat jatuh cinta dan senang pula melupakan?

Sebelum ini, sudah dua kali. Kini, hatinya terisi dengan nama lain pula. Mudah sungguh. Mungkin betul, dia memang jenis yang tidak boleh dibuat baik. Pantang orang buat baik sikit, senang sangat nak beri hati. Entahlah… tapi apa sekalipun, dia yakin yang dia cintakan si dia. Cinta sungguh-sungguh.

'BILA DAH SUKA' membawa anda menyelami hati seorang gadis genit bernama Nurul Huda. Dia yang kecewa dengan perkahwinan insan yang dicintai membawa diri ke utara tanah air. Tetapi setiba di sana, sesuatu yang tidak diduga telah menimpa dirinya, lalu mengubah perjalanan hidupnya.


19 August 2011

Pelangi - Syud, Hlovate & Noor Suraya

Ceritera I - Pelangi - Syud.

"Iman bukan pelangi awak, Iman cuma Iman. Iman tak cantik macam pelangi… Tapi Iman tetap ada kat sini walau pelangi dah pergi…".

Menjadi anak yatim piatu pada usia muda bukannya bermakna Iman Aisyah tidak berani hidup sendiri apalagi berdikari. Cuma kalau tiba-tiba ada yang melamar, apa salahnya kalau dia menerima, kan?

Ceritera II - Ked's Story - Hlovate.

"Khalid Faizal… Ked… Hadiah… Nawal… a lady… a romeo… a skater… Florida-Virginia…" Malaysia - USA.

Hadiah deck daripada gadis tak bernama membuat dia gelabah. Macam mana budak perempuan FELDA tu tahu tentang skate? FELDA Florida barangkali, sebab budak berbaju kurung tu kenal juga Bruce Walker!

"Kalau nak ikutkan logik… cinta pandang pertama dan cinta antara benua tu… masuk akal ke?"

Ceritera III - Rumah Kecil Di Ujung Padang - Noor Suraya.

Akukah kunang-kunang yang dilupai orang tika mentari menyinsing?

"... papamu jadi bimbang kalau sapi-sapi itu mencintai aku lebih daripada dia." Kata doktor veterinar itu sambil tersenyum. "Semua orang bilang mas sangat pendiam. "... tetapi tidak dengan gadis yang aku suka."

Gadis yang aku suka?

Durrah selalu melarikan diri jika hatinya tercalar. Masihkah dia perlu 'berlari' jika hatinya sudah tersangkut pada penghuni rumah kecil di hujung padang ini?


Percayalah... Akhirnya - Ruby Hazri

"Dia umpama sebuah kolam, kelihatan tenang di permukaan, berolak dan bergelora di dasarnya."

Siapa yang kata cinta tidak semestinya bersatu? Sedangkan itulah tujuannya perkahwinan! Betullah kata orang, lelaki Melayu romantisnya tidak setanding dengan lelaki Eropah. Itulah bahagianya Nur Atiqah menjadi isteri Danial Wolfgang. Tetapi…

"Aku sanggup memungut sisa kasihmu yang sirna, Atiqah. Izinkan dia berada di sisiku, Tuhan. Biarpun mungkin aku tidak layak memiliki hatinya" - Khairil.

Salji datang lagi… sebelum kuntuman tulip sempat berkembang di padang harapan. Salji datang lagi… kala suramnya awan diri yang pasrah mengenang mentari cindur yang hilang.

"Ya Allah, mungkinkah akan ada lagi pertemuan dengannya?" - Danial Wolfgang.

Fitrah hati sahajalah yang mampu menjadikan ikatan perkahwinan ini sebuah syurga, Atiqah. Bahagia hadir dari dalam hati, kesannya akan tampak pada zahir dan rupanya terlihat pada maknawi.

"Kenapa kita harus ditemukan dalam situasi seperti ini? Bukannya ini kehendak yang Ika mahu!" - Nur Atiqah

Lagenda Budak Setan - Ahadiat Akashah

Lebih satu dekad Kasyah mencipta cinta. Dari manusia yang tak kenal erti kasih sayang… dia menjadi pencinta agung. Dia tabah mengharungi apa saja… demi sumpahnya mencintai Ayu sehingga ke akhir hayat. Tetapi, berjayakah dia menyunting Ayu menjadi permaisurinya? Bahagiakah dia? Mampukah dibuktikan pada dunia… cinta adalah segala-galanya! Cuma Ayu yang punyai jawapan itu. Dan, Allah sebagai penentu. Dan, siapakah Katerina?


Aku Ada Kamu - Lily Haslina Nasir

Kata orang, cinta suci itu hanya datang sekali sahaja. Tetapi cinta bagi Sofi Aidura persis menukar baju di dalam almari. Tidak suka yang ini, ambil yang itu, tidak suka yang itu, tukar yang lain. Namun di sudut hati, Hisham seorang sahaja pujaan hati.

Tika inai masih lagi merah di jari, pasangan ini mula diduga. Gara-gara Sheila yang mencinta Hisham dan tergila-gila. Kerana cintakan Hisham, Sheila sanggup melakukan apa jua. Tapi yang pasti baik Hisham dan Sofi Aidura tidak akan menyerah begitu sahaja.

Cinta itu milik mereka dan mereka akan terus mempertahankannya.


Cemburu Seorang Perempuan - Siti Hazniza Abdul Hamid

Tidak sulit beristeri dua, Dhiya'… kiranya yang kedua itu ialah dirimu. Kiranya yang kedua itu penuh reda sepertimu… Isteri, di wajahmu ada syurga… yang di dalamnya beralun tenang alirannya dan sesekali aku rindu… namun yang sesekali itu, aku seringnya tidak mampu untuk memenuhinya. Kasih sayang kita ada sempadan yang memisahkan, hingga ruang-ruang intim antara kita… aku lemas sebelum waktunya. Andainya syurga buatmu, lalu aku harus menjadi suami yang bagaimana… selayaknya aku di mana? Dan adakah syurga buat suami sepertiku… suami yang sering kali gagal meletakkan keadilan di dalam rumah tangga. Isteri… melamarmu menjadi isteri kedua adakah suatu yang dinamakan kesilapan, bila tatkala kesempurnaanmu menjadikan aku seorang suami yang gagal…


Tangisan Bulan Madu - Samsiah Mohd. Nor

Menganggur setelah memerah tenaga dan membuang usia untuk mendapatkan segulung ijazah dari universiti adalah pengalaman yang menyakitkan. Amira tidak dapat memenuhi harapan keluarga, kekasihnya memutuskan cinta untuk mengahwini gadis lain, percintaannya dengan Bogatt dihalangi oleh Puan Marina yang memilih darjat. Setelah akhirnya Bogatt berjaya juga memimpin tangannya ke pelamin, mereka tidak sempat berbulan madu. Mengapa?



Baju Pengantin Mak Andam - Areila Sahimi

Aleeya dan Zain berjumpa di majlis perkahwinan pelanggan Kak Ana. Mereka asalnya bukannya sebulu. Namun kalau Zain dah menghulurkan salam perkenalan, Aleeya pun tak adalah nak jual mahal sangat. Jalan ajerlah. Sebab Aleeya bukan jenis orang yang sombong tak bertempat.

Aleeya dan Zain bermula sekadar kawan biasa, kemudian mereka mula masuk fasa teman tapi mesra. Zain kata sayang. Zain kata cinta. Tapi Aleeya blur tak tau nak kata apa sebab dia tak tau apa yang dia rasa. Yang dia tahu dia fobia untuk jatuh cinta sebab dia takut kena tinggal, dia takut kecewa macam apa yang pernah dia lalui sebelum ini. Dia jadi sangat keliru.

Tiba-tiba badai datang melanda. Dari teman tapi mesra jadi musuh yang langsung tak boleh tengok muka. Jauh di mata, perlukah jauh di hati juga? Namun dalam ribut taufan itu, rindu tetap bertandang di hati, sayang sudah sedia bertenggek di jiwa. Kenapa dibina tempoh ego di antara dua hati ini jika bahagia itu sudah berada di depan mata?

Lalu siapakah yang harus mengambil inisiatif untuk menyelamatkan hubungan ini? Biar yang simpul dileraikan, biar yang kusut dilembutkan, biar yang serabut dirapikan. Biar jadi wangi macam sediakala. Aleeya? Zain? Kak Ana? Rozy? Azizul?


Lagu Cinta - Iejay Zakaria

Idzham dan Aleya tak ubah seperti anjing dan kucing. Pantang bertemu, ada sahaja 'ayat-ayat manis' yang dihamburkan. Perseteruan mereka bagaikan tiada akan habisnya. Namun siapa menyangka 'musuh' tradisi itu akhirnya tewas oleh panahan arjuna. 'Sleeping Beauty' itu berjaya dijinakkan oleh 'Encik Perasan Bagus' dengan cara yang begitu mengujakan.

Tika bersama meniti dan membilang hari bahagia, ketika lagu-lagu cinta sentiasa memenuhi ruang hati, Idzham hilang menyepikan diri. Keindahan cinta yang membara bertukar malap dengan tiba-tiba. Aleya tertanya-tanya di mana silapnya? Akan musnahkah lagu-lagu cintanya?

Tuhan Lebih Tahu - Nora Ismail

Diperkosa sahabat baiknya sendiri, Hazry, Rina seperti hilang arah. Ke mana diri hendak dibawa? Perlukah harga diri dijaja? Dalam resah dan gudah, syukur ada tangan yang datang menghulur. Azfarel lelaki budiman yang memang meminati Rina dari jauh menghulurkan pertolongan. Hati Rina berbelah bagi, apakah perlu diterima hati yang cuba berbudi? Sedangkan Hazry hilang entah ke mana. Bahagiakah hidupnya nanti dengan Azfarel? Dapatkah dia melupakan segala bayangan hitam? Namun akhirnya Rina sedar, dalam hidup, bagaimana kita mencaturnya…

Bila Nysrah Kata Tak Mahu - Aidil Khalid

Apa yang Nysrah tak mahu?

Cerita ini mengungkap tentang Nysrah, si manis 17 tahun yang berkereta api sendirian, berulang alik dari Tanah Merah ke Bahau pada setiap kali cuti sekolah tiba. Cerita penuh debar, penuh benci, penuh sinis, penuh pengajaran, namun sarat dengan hakikat ini, akan membuat kita berfikir seratus kali, sebelum melepaskan anak gadis berkelana malam-malam seorang diri ke mana-mana!

Kenapa pula Nysrah tak mahu?

Inilah sebuah cerita tentang Nysrah, dan perjalanannya. Tentang masa indah bersama teman-teman, jua tentang rasa indah dalam usia suntinya tatkala hatinya disapa kasih dia. Namun kenapa ada yang tega calarkan citra indahnya?

Cerita Nysrah dengan dia. Cerita Nysrah dengan Dia.



Atas Nama Cinta - Lily Suriani

"Firas… saat kau ucapkan ungkapan cinta, aku sudah bersedia serahkan segalanya. Untuk melafazkan cinta bukannya mudah. Sekali kulafaz, hingga ke nafas terakhir cinta itu masih bernada dalam hati ini. Biarpun menjadi lilin yang membakar diri dalam kegelapan hanya untuk memberikan cahaya. Demi sebuah kejujuran yang kuagungkan, aku rela…" - Ardini.

"Ardini… kerana rindu membuatkan aku mencintai dan menyayangimu. Segenap ruang nafasku, hanya namamu yang menciptakan irama cinta nan indah. Kau menghamparkan kasih untuk aku meniti batas-batas kebahagiaan bersamamu. Hingga aku berikrar, tiada nama lain yang bersemadi di hati ini." - Firas.

Sukarnya Firas menakluki hati dan cinta Ardini. Pelbagai cara dilakukan agar gadis pujaan hati menjadi miliknya yang abadi. Bukankah cinta itu satu pengorbanan? Dan itulah yang menguntumkan kemanisan cinta. Ijab kabul bukti bahawa cinta mereka bukan hanya dibibir.

Gelora ombak dan taufan telah mengaramkan bahtera cinta mereka ketika disinari cinta bahagia. Namun, mengapa ada insan yang mencemburui keindahan cinta mereka? Mengapa perlu ada duri-duri yang menghalang mereka ke puncak kasih hingga hati mereka tercalar luka? Atas nama cinta, mereka berpegang teguh pada janji setia…



Panggil Aku Dahlia - Noor Suraya


"Ayah diserang strok, Dahlia! Ayah tiba-tiba jadi teringat padamu. Kamu tu cekap macam Opah Orkid!" puji ayah tiba-tiba.

Padahal dulu, bukankah aku sudah disuruh pergi? Bukankah selepas peristiwa menyayat hati itu, aku bagaikan sudah menjadi anak perempuan orang lain, ayah?

Itulah asalnya kenapa Dahlia, pembantu kurator di Muzium Orang Asli Canberra pulang ke Malaysia. Dahlia sang archaeologist yang tidak tahu apa-apa tentang kebun teh itu terpaksa berdepan dengan Teh Timor yang sudah menambun masalahnya!

Keadaan kian kusut pabila dia bertemu semula dengan si licik Wadi. Musuh tradisinya itu sanggup buat apa sahaja untuk merampas kebuh Teh Timor demi memperluas ladang The Sutra miliknya.

Lalu apa pula muslihat Wadi? Tatkala tiba-tiba sahaja dia sanggup menyerahkan ladang teh miliknya sebagai mahar?

Perlukah Dahlia menerima dia, demi mendapatkan kembali tanah milik datuk ayahnya?

Novel kelapan Noor Suraya mengajak anda membantu Putri Dahlia Megat Qais menguruskan Syarikat The Timor di Tanah Ratu. Silalah nasihati dia, yakinilah dia bahawa tawaran Wadi Hannan itu cumalah satu pesona, dan usahlah terpesona!

Tanya Pada Hati - Iman Xara

Kata orang jodoh pun kena dicari. Kata orang jodoh tertulis sukar sudah untuk dialih. Kata orang gadis yang menawan mudah saja menemui jodohnya.

Banyak betul kata orang. Inilah dilema seorang akauntan, Farisya Ibrahim. Kerjanya yang berdepan dengan angka-angka membuat dia terlupa pada 'angkanya' sendiri. Sedar-sedar umur sudah melangkah ke ambang 30-an! Lalu, kenapa pula dia harus berlengah waktu, bilamana pilihan sudah menunggu?

Farisya Ibrahim! Tidak pernah sekalipun dia pernah bercinta, apatah lagi untuk pernah putus cinta. Namun, kenapa pula hatinya sukar ditembusi? Sakit apakah ini?

Apa yang menyukarkan dia memilih?
Dia bukannya tidak cantik,
dia bukannya tidak menarik.
Dia gadis periang yang sangat disenangi.

Jadi, kenapa harus dibiarkan terkatup tertutup?
Tanyalah pada hati… lalu apa jawab hati?


Atas Nama Cinta - Bikash Nur Idris

Cinta ibarat berlian yang mempunyai benih faset. Jernih atau kabur cahayanya bergantung kepada penggosoknya.

Genelia hanya mahu jauh daripada keluarganya, demi cinta. Hafidz hanya mahu jauh daripada curiga, demi sahabat. Lalu mereka lakukan perkara yang serupa, berbohong. Dan, pembohongan itu mencengkam hati mereka lantas dengan nama cinta mereka sama berikrar, mahu mencipta kenangan demi dibawa bersama. Hanya satu masalah yang timbul; kenangan akan mengejar lalu mereka menjadi tamak, mahu miliki cinta - sepenuhnya.


Persis Sebutir Pasir - Manj Lara

Aku ingin jadi bintang… biarpun kerdil, tidak sebesar dan secantik bulan namun bintang tetap punya ceritanya yang tersendiri.

Jika tidak kerana bintang, masihkan ada insan yang sudi menatap pekatnya warna malam?
Jika tidak kerana kerdipannya yang berkilau cantik, mungkinkah ada yang edan mengira butir-butirnya yang halus gemerlapan?
Jika tidak ditemani bintang, mahukah bulan muncul bersendirian di dada langit?

Aku hanya ingin jadi bintang, kerana ceritera bintang lebih banyak berbanding bulan nan satu…

Widya –

Inikah takdir yang diumpamakan sebagai 'sijil' buat Kasih? 'Sijil' yang tak mungkin dipadamkan faktanya, ditokok atau ditambah isinya, Wan?

Irwan Zahir –

Kasih, betapa jerih kita berusaha untuk terus bersama… ada saja halangan yang melanda. Setelah semua peluang itu tertutup untuk kita, tiba-tiba ada 'jalan' lain pula yang ingin menghubungkan kita semula… lalu harus bagaimanakah aku, Kasih?


Teluki Itu Untuk Aku - Nazawati

Perasaan ini bagaikan air di kali yang sentiasa mengalir tanpa henti.

Telah aku kuburkan dalam-dalam persahabatan bersama kau. Telah aku cuba simpan peristiwa aib itu dalam hati sampai mati. Bertahun aku menghilang, dan tidak pernah aku sangka waktu telah menemukan kita lagi. Malang apa yang menanti, pabila kau dan aku terperangkap dalam ikatan yang tidak pernah kita impikan?

Benarkah hati perempuan itu, kerasnya bagaikan kerak nasi? Percik air lembutlah ia…!
Benarkah hati perempuan itu dalamnya tak terduga? Sentuh dasarnya, lunaklah ia…!
Benarkah begitu?

Ya, perempuan lain mungkin, tetapi tidak aku untuk lelaki seperti kau! Kau tidak pernah mengenali lagi aku Fir, kau tidak pernah lagi memahami aku Fir, kau tidak pernah sekalipun menyelami hati seorang aku!

Bahtera ini, arah kita tak serupa padamu… aku dendam yang tak terungkai, padaku… kau sahabat yang melukakan.

Mengapa tidak kita akhiri sahaja tali ini, kalau kita tidak pernah endahkan ijab kabulnya, Fir?


Rooftap Rant - Hlovate

Lontarkan… kalau tidak ia meracun; Kongsikan… walau hanya pada awan-awan.

Mereka berbicara di atas bumbung; Episod hidup memang berbeza, tapi cerita mereka masih selari!

Allah takkan bebankan hamba-Nya dengan apa yang dia tak mampu!

Hidup tak selalunya lawa; Tak selalunya ada pelangi; Kalau nak kata a bed of roses pun, duri-durinya tetap ada; Kadang-kadang… bilamana 'malapetaka' tu datang, terasa macam kena gelek ke bumi dek ahli sumo; Rasa macam dah tak mampu bangkit; Rasa macam dah tak mampu hela nafas;

Dengarkan Hlovate berbicara: tentang hikayat Rooftop Rant dari puncak Wisma Topaz ini… tentang Trisy dan Jade…

Tentang bukit yang sayup di depan;
Tentang angin yang membawa salam di belakang;
Tentang lang sewah yang berlegar melayah di atas;
Tentang deretan kenderaan yang bersesak-sesak di bawah.

Dan mereka terus bercerita… sesudah berani meruntuhkan tembok hati dan dinding rasa;

Mampukah dibeli tangga-tangga untuk mencapai cita-cita? Ini cerita sebuah bicara;

Bicara bumbung namanya…

Plain Jane - Nurul Syahida

"Maksud saya, kawan-kawan Ana terdiri daripada gadis-gadis yang… macam Ana. Tapi awak tak macam dia. Tak ada beg berjenama LV atau bersolek MAC atau berbau minyak wangi Carolina Herrera. You're like a Plain Jane berbanding mereka semua".

"Kau gila Kis? Esok ada lima kelas! Tak penat ke? Hati aku menjerit. Tapi kenapa nak dengar kata hati? Baik dengar kata Zaniel. Zaniel sepuluh kali lebih kacak dari hati aku."

"Kadang-kadang kita perlukan drama dalam hidup untuk menambahkan rencah dalam cerita yang bakal kita ulang kepada anak cucu. Khir adalah 'bunjut dalam sup' hidup aku ini, ia menambah rasa, namun bukan untuk ditelan!"

"Awak ikut protokol dan awak rasa memberitahu saya yang awak cintakan saya dan mendapat pengesahan yang saya cintakan awak adalah cara bercinta yang ideal. Kadang-kadang kita tak perlu menyebut 'Saya Cintakan Awak' untuk memberitahu seseorang yang memang kita cintakan dia. Cukup hanya dengan menunjukkannya, mengambil tahu, memahami"

Aku tidak perlukan fantasi itu. Semudah itu untuk menjadi diriku.

Aku Cinta Kyra - Ramlah Rashid

Sepatutnya aku gembira dengan kebahagiaan Kyra, sepatutnya aku bahagia dengan kegembiraan ibu. Tapi kenapa tiba-tiba jiwaku jadi kosong, sekosong langit malam tanpa bulan mahupun bintang, gelap! Pengap! Bahang! - Kyrul Idham.

"Abang baik sangat pada Kyra. Sejak kecil Kyra berangan-angan nak kahwin dengan abang. Namun itu dulu, zaman budak-budak. Kyra ingat ayah dengan ibu adik-beradik sebelum jadi suami isteri. Jadi Kyra pun berangan-angan begitu. Tapikan baik kalau abang bukan abang Kyra?" - Kyra Idora.

"Tapi, cintakah Kyra pada aku? Sedangkan selama ini dia seakan mencintai abang? Pasti cintanya kian mendalam selepas siapa abang, terungkai." - Hairee.

Namun kita hanya merancang, Allah penentu segala. Cinta yang wujud tanpa diduga. Hadirnya tanpa disengaja, berakhir jua tanpa dijangka.

Zahrah De Tigris - Khairyn Othman

Zahrah de Tigris… adalah Khairunnisa Si Kembang Tigris…

Anak gadis dari Malaysia yang menuntut di Tanah Ratu ini, memang degil orangnya. Dilarang makin keras, dirayu pula makin tegar. Dia berkelana bersendirian mencari sebuah cinta. Cinta yang paling hakiki: cinta Rabbulizzati.

Nisa pasrah menerokai sebuah kota yang pernah menjadi puncak peradaban Islam suatu waktu dulu. Kota Baghdad yang pernah terkenal dari masyrik sampai ke maghrib itu sedang berantakan: dihamburi mortar dan peluru. Cerita pilu, Kota Negeri Seribu Satu Malam itu menjadi Kota Ngeri Seribu Satu Malam.

Menjadi guru dan jurubahasa, membuatnya mudah memahami budaya orang-orang di Lembah Tigris.

Begitu sudah di situ lain pula ujiannya; dia terpaksa keraskan jiwa, kuatkan semangat tetapi perlahan-lahan hati perempuannya diketuk jua. Namun cinta mereka tak mungkin bersatu kerana Doktor Patrick Devereux, seorang ateis.

Rahsia Hati Sofia - Nazurah Aishah

Sekali air sungai melimpah… sekali pasirnya pun berubah…

Aku dan dia kenal begitu lama, saling menyimpan rasa dan berkongsi hati. Kenapa sukarnya untuk saling memahami? Padahal kita bagaikan bercerung jiwa!

Ini bukan cinta tiga segi! Dia dan dia bersahabat. Mereka berkongsi cerita. Namun rahsianya hanya aku seorang sahaja yang tahu!

Ajaibnya dalam derita masih ada cahaya, jalurnya memandu arah. Anehnya dalam pijar resah, angin masih bawa salam bahagia walau seketika. Payahnya cinta pabila jadi benci. Sukarnya nak pujuk hati biar benci bertukar rindu. Pilunya hati tatkala kau paksa aku memilihmu, padahal kau sudah lama kupilih!

Jiwamu bagai ombak di tengah laut, pabila datang menderu kau usung segala beban ke gigi pantai. Singgahmu sekejap cuma, tika pergi kau titipkan semuanya dibahuku seorang… Kenapa harus begitu, Mal?

Hujan Gula-Gula - Miz Mia

Seluruh alam menjadi saksi…. Cinta pertama tercipta… Indah! Tetapi seksa! Bulan memujuk dalam senyuman… Sayang… tetapi sepi! Bintang menyanyi bagai mengerti… Sembilan tahun merindu… Izhan akhirnya muncul! Namun Natalia tidak pasti… Akan wujudkan hujan gula-gula yang dinanti?

"Tunggu Izhan call aku, samalah macam harap hujan gula-gula turun kat bumi ni."

Cidot masih lagi membatu.

"Tak faham ke?"

Laju Cidot menggeleng.

"Okey… hujan gula-gula tu wujud ke?"

"Tak!"

Natalia senyum.

"Aku tau Izhan takkan call aku… sampai bila-bila pun takkan ada!"

Walaupun pahit, dia paksa diri agar menerima hakikat itu. Siapalah aku… "Tak mungkin wujud!"

Sayap-Sayap Cinta - Ahadiat Akashah

Bagaimana perasaan seorang suami yang terlalu amat mencintai isterinya apabila terlihat gambar silam si isteri? Melati bersumpah dengan nama Tuhan… dia tak pernah tahu tentangnya! Sukar bagi Ridhuan untuk mempercayai isterinya itu telah melakukannya. Tetapi gambar dan negatif itu… telah merobohkan segala kepercayaannya! Kalau diteruskannya perkahwinan itu, tidakkah nanti dia dianggap dayus? Kalau diceraikannya Melati… tidakkah nanti hatinya mati? Tetapi… untuk meneruskan hidup bersama Melati adalah sangat mustahil! Melati hanya mampu berserah kepada Allah, mengharapkan sayap-sayap cinta terus terbang mencari kebenaran yang begitu mustahil untuk dibuktikan… kerana seingatnya dia tidak sesekali pun pernah melakukannya?!

Bunga-Bunga Kemboja - Aina Emir

Mawar,

Sudah lama aku ingin mengatakan sesuatu kepadamu, tetapi malangnya, aku tak berani untuk meluahkan perasaanku ini. Selama ini, aku tidak pernah menyatakan kepada sesiapa jua.

Hari ini, aku hanya ada engkau sahaja sebagai teman. Tiada lagi ibu bapa, tiada lagi saudara-mara dan tiada lagi teman, kecuali kau, Mawar.

Pernah suatu ketika dahulu, aku jatuh cinta dengan seorang wanita yang cantik dan comel dan bertahun-tahun lamanya kami beradu kasih, tetapi malangnya cinta kami tidak kesampaian. Dia telah meninggalkan aku untuk orang lain. Kerana perpisahan itulah aku telah membawa diri merantau ke negara orang, nun jauh di utara. Ketika itu, tiada niat lain kecuali berjihad untuk agamaku.

Semasa di perantauan itulah, aku telah bertemu dengan rakan baikmu. Juga wanita yang cantik dan menarik. Kerana agamaku, aku telah mengorbankan diriku untuknya. Namun, ikhlas aku lakukan untuknya.

Mawar,

Sekalipun aku cuba untuk menjadi lelaki yang baik, namun sebagai manusia biasa, aku masih lemah. Kerana kelemahanku itulah aku kerap terumbang-ambing, tidak tahu menangani emosiku. Aku tersepit antara cinta pertamaku dan perasaan sayang yang ada pada temanmu itu. Suatu ketika dahulu, aku tidak tahu keputusan apa yang patut kupilih.

Maafkan aku Mawar… sekiranya di matamu dan rakan baikmu itu, aku tidak kelihatan seperti seorang wira, walaupun itu yang mahu aku lakukan. Sampaikanlah salamku kepada rakan baikmu itu… katakanlah yang dia masih teristimewa buatku.

Salam,
Mohd Nabil Arief

Satu Penantian - Aina Emir, Bikash Nur Idris & Mimie Afinie

Satu penantian memuatkan lima kisah menarik daripada penulis-penulis terkenal.

NKVE Di Sebalik Tragedi –
Bikash Nur Idris.

Satu Penantian –
Aina Emir.

Dalam Hati Ada Cinta –
Bikash Nur Idris.

Buat Hati-Hati Yang Pernah Kulukai –
Mimie Afinie.

Dogma 2 Hati –
Bikash Nur Idris


Warna Hati - Meen Zulaikha

Suatu ketika dahulu, luahan rasa cintanya pernah dipersenda. Madah rindu dan puisi syahdunya buat Jefri menjadi ejekan teman-teman sekolah. Zara Lisa, malu tidak terkata. Sejak saat itu, nama Jefri terus dikikis dari ingatannya. Bertahun dia memegang prinsip: bercinta bermakna membiarkan diri terluka dan kecewa.

Waktu terus berlalu. Persoalan tentang jodoh mula menghantui hidup Zara Lisa. Cemuhan dan sindiran tentang statusnya, bagai duri berbisa. Hingga dia difitnah, terdesak hendak bersuami. Kata dua daripada emak; bawa pulang calon suami atau emak yang carikan, memaksa Zara Lisa berbuat sesuatu. Dia tidak boleh mengharapkan cinta datang sendiri.

Speed dating menemukan Zara Lisa dengan dua orang lelaki. Erman yang tampan bergaya dan gentleman membuatkan dia jatuh cinta pandang pertama. Beria-ia dia menyulam mimpi untuk menjadi permaisuri lelaki itu. Tapi, rupa-rupanya warna cinta mereka cuma kelabu. Erman, playboy yang bijak menabur janji palsu untuk memikat. Lelaki kedua pula, Harith yang serba sederhana turut menghulurkan salam cinta sedangkan di hati Zara Liza, hubungan mereka hanya sebagai kawan.

Lamaran daripada Jefri, mengejutkan Zara Lisa. Dia terpaksa menerima biarpun hatinya tidak rela. Harith muncul dan menceriakan kesedihan Zara Lisa. Dalam diam, dia mula merindui lelaki itu yang pernah dipandang sepi sebelum ini. Harapannya terhadap Harith setinggi gunung setelah ikatannya dengan Jefri terlerai. Dalam membina janji kasih, kebahagiaan Zara Lisa diuji sekali lagi. Siapakah Harith sebenarnya? Sedangkan cinta sejati tiada ruang untuk prasangka…

Secangkir Kopi Panas Di Pilot Cafe - Ahadiat Akashah

Di Pilot Café segalanya bermula semula.
Bagaikan ulangan sejarah lama.


Ameer menemukan cinta… sayangnya yang dicintai sudah berpunya. Maya mencari kekasih yang hilang… bertemu, tetapi rintangan yang datang. Sharmila memiliki cinta… bahagia, segalanya indah belaka. Maya kembali semula ke Pilot Café… meneguk secangkir kopi panas yang dihidangkan Ameer. Sharmila menjengok ke Pilot Café… hanya menemukan Ameer yang kesunyian. Ke mana arah cinta mereka ini… yang masing-masing punyai rahsia tersembunyi? Bagaimana mereka ini… dapat membahagiakan hati masing-masing?


Pilot Cafe - Ahadiat Akashah & Zuraidah Othman

Di Pilot Café satu lembaran.
Cinta telah mula berputik.

Kehidupan ini bermula di mana-mana… tak menentu indah ataupun gundah. Bila Maya kehilangan jantung hatinya… dia bertemu Ameer… lelaki yang hanya tau menodai cinta. Bermula dengan secangkir kopi panas di Pilot Café… segala-galanya berubah untuk mereka berdua. Ameer mula merasai apa itu cinta manakala Maya belajar untuk menolak cinta yang suci. Bagaimanakah berakhirnya kemelut dua insan yang sudah mula memutikkan bunga-bunga cinta ini…

Tiga Hari Kemudian - Ahadiat Akashah

Bercerai selepas tiga hari memang mudah. Berpura-pura tak bercerai yang payah.

Melafazkan cerai memang mudah. Tetapi tak semudah merahsiakannya. Apa yang perlu mereka lakukan agar perceraian mereka tidak diketahui kedua ibu bapa? Juwita merayu agar perceraian mereka dirahsiakan kerana tak sanggup mengaibkan keluarga. Namun, apabila ada kenduri kendara bagaimana mereka mengatasinya? Perlukah mereka hadir dengan berlakon sebagai pasangan suami isteri? Namun sampai bila mereka perlu berpura-pura begini?

Untuk Tiga Hari - Ahadiat Akashah

Lalu diikat janji ini atas nama cinta.
Diikutkan juga kehendak famili dan persandingan dijalankan serentak.

Memang sengaja mereka memilih hari, tarikh dan waktu yang sama lalu, di hari persandingan itu mereka dirantai kemelut yang menyeksakan.

Betulkah apa yang akan mereka lakukan ini? Menurut kehendak famili masing-masing hanya kerana tak mahu mengecilkan hati dan perasaan mereka. Namun, mereka berjanji kahwin hanya untuk tiga hari. Mereka berjanji untuk meminta cerai… tiga hari selepas hari persandingan. Namun… tiga malam bersama pasangan masing-masing… telah membawa mereka ke sebuah alam yang lain.

Dan, apabila tiba hari yang ketiga itu, bagaimana untuk mereka menyuarakan hasrat untuk bercerai?

Di Langit Cinta - Lily Haslina Nasir

Cinta tidak bererti memiliki. Tetapi cinta juga bukan bermaksud melukai. Bagi Hani, cintanya bersama Raiz rupanya hanya sebuah mimpi. Dia benar-benar kecewa bila ditinggalkan terkapai-kapai mencari haluan sendiri.

"Cinta pertama dengan kau tapi malam pertama dengan Meriam!" Sindiran itu bagai memetir di telinga Hani. Jiwanya hangus terbakar. Maruahnya terasa dipijak-pijak!

Benarkah Cuma dia yang setia sedangkan Raiz hanya bijak bermain kata-kata? Dia berusaha memujuk diri melupakan semuannya tentang Raiz. Tapi, batinnya terseksa menanggung rindu mengejar bayang lelaki itu.

Di langit sana… Raiz pula menangisi setiap malamnya di sisi Meriam. Dia menikahi sepupunya itu untuk melunaskan hutang emaknya. Hanya sekali dia menyentuh Meriam. Itulah yang pertama dan terakhir setelah beratus kali Meriam menyindirnya suami dayus dan serba serbi tidak mampu.

Kisah mereka kasih terhalang, tapi rindu mereka tidak pernah terlarang. Hani dan dipertemukan semula dalam episod kedua. Janji mereka untuk hidup sebagai suami isteri akhirnya dimaterai dengan ijab kabul tanpa restu keluarga. Bagaimana dengan Meriam?

Qaseh Qaisy - Ramlah Rashid

Lewat perkenalan di ruang skrin alat telekomunikasi canggih itu, membibitkan perasaan sayang Qhalida Qaseh terhadap si dia yang bergelar B. Qhalida Qaseh sendiri sebagai D, nama pengganti dirinya. Hanya sms sebagai pengantara hubungan mereka. Bagaikan wujud keserasian hinggakan mereka memeterai pertunangan alam siber dengan cara sendiri.

Seperti yang dijanjikan, setelah beberapa bulan barulah mereka bersedia untuk saling bersuara dan bersua muka. Biar bagaimanapun rupa dan bentuk, mereka tetap menerima kelebihan dan kelemahan masing-masing. Ternyata perjumpaan itu mengeratkan lagi kasih antara mereka.

Namun, kenangan semalam kembali bertamu, ketika Qalida Qaseh bersama temannya Nabil bertemu dengan Tengku Qaisy Iskandar, tidak disangkanya Tengku Qaisy Iskandar sebenarnya adalah B, kekasih dan tunangnya di alam maya.

Saat itu Qhalida Qaseh terkenangkan zaman kanak-kanak mereka. Tengku Qaisy Iskandar sering membuli dan menyuruh Qhalida Qaseh melakukan sesuatu yang tidak disukainya. Disebabkan status yang berbeza Qhalida Qaseh menurut segala kemahuan Tengku Qaisy Iskandar biarpun hatinya terluka. Tengku Qaisy Iskandar merupakan anak majikan ibunya, Puan Maimon yang bekerja sebagai pembantu rumah keluarga kaya Tengku Nazim Shah dan Puan Satirah.

Qhalida Qaseh merasakan seperti dipermainkan. Lalu rasa cinta pada lelaki itu cuba disingkir dan perasaan benci dipupuk. Rasa kasih dan cinta bercampur dendam serta benci yang dibajanya membuat Qhalida Qaseh merasa sedih. Hatinya juga tidak senang tetapi sengaja berbuat tegar dan ego. Tengku Qaisy Iskandar berusaha meleraikan segala kekeliruan dan salah faham demi cintanya terhadap Qhalida Qaseh.

Tetapi darjat keturunan menghalang penyatuan cinta Qhalida Qaseh dan Tengku Qaisy Iskandar. Adakah takdir yang menjurangi kisah mereka? Darjat keturunan? Nama atau kedudukan?

Bukan mudah memadam kenangan semalam, tidak semudah melewati kebahagian yang berlaku.

Kalau Ada Jodoh - Mimie Afinie

Tiada siapa mahu sengsara. Tiada jua yang ingin derita. Namun takdir Tuhan siapa mampu menepis? Setahun… hidupnya berteman duka. Terima kasih lelakiku, atas 'hadiah' itu. Tatkala hati belajar melupakan… si dia hadir mengocak rasa. Juga lelaki itu… yang ingin menyambung kasih. Lalu siapa yang harus dipilih?

Faris - "Cincin ni, bukti abang serius mahu mengambil Rini sebagai isteri abang. Tapi… andai kata Rini tolak, anggap saja cincin ini sebagai hadiah daripada abang. Tanda yang lelaki ini pernah hadir dalam hidup Rini dan amat mencintai Rini."

Pyan - "Salahkah kalau saya cintakan awak? Salahkah… kalau saya nak kahwin dengan awak? Tak cintakan saya pun tak apalah… tapi… apa kata kita kahwin dulu? Mungkin lepas kahwin, perasaan awak akan berubah terhadap saya."

Rini - "Buat masa ni, saya belum nak fikir pasal kahwin. Saya lebih suka hidup macam ni. Nak buat apa pun tak ada yang larang. Nak ke mana pun tak ada yang halang." Memang itu pun yang sering berada difikirannya selama ini. Dia tidak mahu pening kepala memikirkan tentang cinta. Baik cinta Faris, mahu pun cinta Pyan.

Cinta Mekar Di Hati - Rose Harissa

Setiap cinta… pasti ada derita, pengorbanan, cemburu dan air mata. Cinta tidak hadir dengan kekayaan dan kebendaan… tetapi hadir dengan pengorbanan dan kesetiaan.

Ady Rafizal… Cinta tidak pernah punya undang-undang, tetapi mengapa harus aku terhukum? Dalam derita, hanya bayangmu yang mampu kudakap. Namun, selagi aku bernafas dengan nama Allah, tidak pernah sekali aku berhenti merinduimu. Dan aku yakin, cinta akan mengembalikan kau kepada ku.

Fasha… cinta tidak pernah menyeksa tetapi sentiasa menguji. Sekali kau memberi cinta, tidak akan kubiarkan ia hilang ditelan waktu walau beribu batu kita terpisah. Sesungguhnya, kau adalah cinta dan nyawaku dalam hidup ini.

Fahrin… Cinta itu sebuah pengorbanan, tetapi mengapa ia bukan noktah cintaku kepadamu? Kenapa semakin sukar aku miliki cintamu setelah menanggung derita ini? Cintaku indah tapi aku derita perasaan.

Tengku Alis Marina… Cinta itu madu dan racun! Andai aku tidak dapat memiliki madunya, biarlah aku jadi racunnya!

Bohemian - Imaen

Cinta membuat kita tidak memandang apa-apa yang datang daripada kita, walaupun ia sebesar mana sekalipun. Sebaliknya, kita hanya akan memandang apa-apa yang datang daripada orang yang kita cintai, walau sekecil mana pun. Cinta membuat kita membuang sifat sendiri, dan mengambil sifatnya sebagai ganti.

Aku –
pemain muzik jalanan;
melayari malaysiakini.com;
merambu-rambu cari duit;
pakai seluar bertampal di lutut; berambut panjang cecah bahu.

Dia –
seorang peguam;
baca Business Times;
gaji ribu-ribu;
pakai skirt nampak lutut;
berambut copper blonde celup.

Siapakah dia yang berani mencuri tenang dan damaiku, lalu menggantikan ia dengan resah gelisah?
Siapakah dia berani merampas hening bening malam dengan huru-hara yang tidak keruan ini?
Siapakah dia yang berani mengusik lenaku dengan bayangnya?


Dia, yang tidak pernah ada dalam senarai bidadari anganku! Tidak pula pernah sekalipun wujud dalam daftar mimpiku!

Dia, yang dari hujung kaki hingga hujung rambut bukanlah perempuan yang aku mohon lewat doa-doaku kepada Tuhan.


Kebun Mimpi - Noor Suraya, Syud & Rnysa

Ceritera I - Kebun Mimpi… oleh Noor Suraya;

Masih ingat pada karya pertamanya, Keranamu Ain…? Inilah lanjutan kisah Ain Najwa selepas itu.

Sudah Ain tanam, sudah Ain semai… namun tidak satu pun yang bertunas itu rupa-rupanya kembang menjadi bunga! Bagaikan kebun mimpi… apa yang hadir dalam hidup Ain ini sekadar sebuah kenang-kenangan.

Ceritera II - Tas Merah Jambu oleh Syud;

Gara-gara sekeping kad raya yang ada gambar seekor kucing putih gebu, hidup Nisa tak keruan dibuat dek Anna, Lin dan Nini. Sementara kawan-kawan si penerima kad misteri itu, sedang menyenaraikan suspek: siapakah peminat rahsia Adif? Aiman terus menyiasat, Adif pula jadi resah gelisah. Jomlah sama-sama ikut SYUD membongkar misteri hati Nisa - Adif ini…!

Ceritera III - Albatros:

Antara Langit dan Bumi oleh Rnysa; "Ya. Kalau sayapnya elok lagi, 'dia' boleh terbang…" balas Ehsan. Izzah rasa dia yang perlukan sayap sekarang, mata Ehsan yang bening sedang mencuri pandang sejenak, menikam ke dalam tangkai jantungnya. Mata itu duta hati, dan jika mata dengan mata itu sudah bertemu, tentulah larutnya jiwa.

Encik Albatros, pinjamkan sebentar sayapmu itu! Aku mahu lari daripada terkena panahan cinta! Bisik Izzah.

Maafkan Ku Sayang - Mimie Afinie

Tanjong Resang, Mersing telah menjadi tempat pilihannya untuk membawa hati yang luka. Dia meninggalkan pekerjaan, kemewahan dan segala-galanya. Biarpun di bumi Mersing nan permai ini dia serba-serbi kekurangan, namun hatinya bahagia, jiwanya damai. Bagaikan tidak mahu lagi dia berpisah dengan pantai yang indah, yang sering kali membuatkan perasaan lelakinya tercabar. Di tempat itulah Iskandar Helmi menumpang kasih dan sayang.

Di tempat itu juga dia bertemu Sarah Nadia yang membuatkan dia terlupa memori semalam. Biarlah semuanya berlalu dalam lipatan sejarah.

Namun tidak semudah itu untuk milik bahagia. Terlalu banyak onak dan duri yang sentiasa sahaja menjadi penghalang.

Mungkin dalam kemelut yang dilalui, Jeffri lebih berhak kepada hati dan perasaan Sarah Nadia, gadis kampung yang berhati mulia, yang pernah juga suatu ketika terlalu mengharapkan cinta yang akhirnya telah membuat dirinya kecewa. Cinta yang tidak diberi penilaian yang saksama!

"Takkan ku berhenti mencintaimu… seperti mana jarum jam ini yang tidak pernah berhenti mengejar masa…"

Kata-kata yang terngiang-ngiang di telinganya, yang terus merobekkan hati… Maafkan ku sayang… bisik hatinya di angin lalu.

Belaian Jiwa - Eka Fahara

Indahnya cinta yang membelai cinta tatkala kau berada disisi. Manisnya madah bila dicita tatkala kau ucapkannya. Namun, sering pula aku resah bila ada saja penghalangnya. Pedih dan sedih dihina hanya aku yang merasainya. Rasa sakit kerana dibohongi hanya aku yang mengerti. Terkapai-kapai kukelemasan untuk merungkaikan suatu kejujuran. Hanya Allah yang tahu betapa parahnya aku menanggung. Maka, perlu lagikah aku merahsiakan gelodak hati ini?

Syed Danial Hafizi… di manakah harus kuletakkan harga diri ini bila Tengku Amnah mempersoalkan keikhlasan hatiku? Persoalan yang terus memburu dan mengacau damai kasih tika cinta suci kita telah kukuh tersemat di sanubari. Ah… aku tak sanggup menghadapi perpisahan ini.

Zahri… kasih sayangku terhadapmu hanyalah kasih sayang seorang adik terhadap abang. Aku tidak mahu meneruskan perkahwinan ini kerana aku belum bersedia ke arah itu. Walaupun pahit dan penuh duka, aku tekad menoktahkan hubungan ini. Maafkan aku…

Adim… sikap ambil beratmu membuatkan aku terharu. Bergetar jiwa ini bila panahan matamu menikam jantungku. Namun, bila menyedari siapa diri ini, rasa bersalah bercambah di hati.

Alisya rimas mendambakan cintanya. Antara tiga lelaki itu, yang manakah harus dia menyemai kasih? Di saat cinta bersemi, perhatian lelaki itu amat dinantikan. Lantaran, dia berasa damai menumpang teduh di bawah payung kasih yang menjadi hak mutlaknya.